Utusan Malaysia – Karya Seni Sushi

Seni Hiasan Makanan

Kemahiran yang cuba ditampilkan di Restoran Shogun, berjaya menghasilkan sushi berupa seekor anak panda dalam masa tidak sampai satu minit membuktikan bahawa kreativiti serta seni tangan memainkan peranan penting untuk berkarya. Tidak kira apa juga medium yang digunakan untuk menghasilkan karya tersebut, secara tidak langsung menunjukkan bahawa seseorang itu perlu pandai berimaginasi seterusnya merealisasikannya dalam bentuk fizikal. Kenyataan tersebut disokong oleh Ketua Chef Grand Saisaki, Chef Tambi Shah Abdul Rashid, 43, yang ditemui pada majlis demostrasi bagaimana makanan boleh dijadikan seni di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru- baru ini. Ternyata pengalamannya selama 16 tahun dalam bidang makanan dan minuman (F&B) tidak disia-siakan apabila dia berjaya memukau pengunjung dengan kreativiti serta ketangkasan tangannya.

Turut menjelaskan seni pembuatan sushi adalah berasaskan kepada golongan kanak-kanak terutamanya untuk menikmati juadah tersebut, ia juga secara tidak langsung membuatkan orang ramai lebih berselera menikmati hidangan tersebut. Tidak hanya terhad kepada satu-satu dekorasi, Chef Tambi memberitahu, salah satu ciri khas pembuatan dekorasi makanan itu adalah saat gulungan sushi dipotong di mana ia akan menampakkan motif seperti pohon, burung, helicopter dan sebagainya, bergantung pada kreativiti seseorang individu tersebut. Bagaimanapun, ulas anak jati Negeri Sembilan ini, bukan mudah untuk menguasai teknik tersebut, malah dia sendiri mengambil masa untuk memahirkan diri.

“Seni hiasan makanan sebenarnya tidak jauh larinya daripada seni hiasan yang dihasilkan di atas sekeping kanvas. Kemahiran serta kreativiti menjadi elemen penting. Walaupun seseorang itu berkemahiran serta kreatif, tetap mengambil masa untuk menguasainya dalam bidang makanan. Tetapi apabila segala-galanya telah dikuasai, ia akan menjadi mudah hingga mampu menghasilkan pelbagai bentuk menarik dan memukau,” ujarnya lagi.

Mengakui mendapat tunjuk ajar daripada tujuh orang chef dari Jepun dalam bidang tersebut, Chef Tambi Shah menjelaskan untuk seseorang itu mahir perlu banyak berlatih di samping selalu mencuba. Tidak hanya terhad kepada penggunaan gumpalan nasi bersama rumpai laut, dekorasi sushi juga boleh menggunakan bahan –bahan lain seperti nasi masam, tofu, nori, keju, lobak, dan timun. Untuk menjadikan sushi tersebut lebih menrik, boleh ditambah dengan perhiasan yang dihasilkan daripada labu putar, pelbagai sayur-sayuran, dan juga buah-buahan.

Juga tidak hanya boleh dinikmati dengan kicap khas dan wasabi, sushi juga enak dimakan dengan kari ayam Jepun yang istimewa. Rasanya berbeza dengan kari di Malaysia kerana tidak pedas, sebaliknya berasa manis bersama campuran herba-herba serta kentang potongan dadu.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Shogun2U turut diperkenalkan kepada umum walaupun telah berada di pasaran dalam talian selama tiga bulan. Berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM1 juta, Shogun2U adalah platform makanan dalam talian bagi penghantaran hidangan sajian Asia yang enak dengan harga mampu milik. Ingin merapatkan jurang antara hidangan masakan restoran dan masakan rumah di samping memberi definasi baru dalam industri makanan, kemudahan yang ditawarkan Shogun2U kepada orang ramai ini amat berbaloi kerana selain mampu menjimatkan masa setiap jenis makanan yang ditawarkan juga berkualiti tinggi.

Menggabungkan Ketua Chef Shogun Saisaki yang berbakat dalam bidang masakan, hidangan masakan campuran gaya Jepun, Korea, Cina dan Barat ini dihantar ke pintu rumah atau pejabat dengan hanya satu klik. Jadi kepada mereka yang ingin mencuba masakan serta perkhidmatan yang disediakan Shogun2U bolehlah kunjungi www.shogun2u.com untuk maktumat lanjut.

Published by Utusan Malaysia – Mega (Mode); 23rd Oct 2015

CTS

20151023_N60_UTSS_MG_6_FC_SENI-HIASAN-MAKANAN